Harga ayam Sabah, Sarawak turut diselaras - Utusan Malaysia

Harga ayam Sabah, Sarawak turut diselaras

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi (kanan) memeriksa kualiti ayam dekat sebuah pasar raya di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas Semenanjung, kerajaan semalam menetapkan harga siling baharu ayam standard bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pada kadar RM9.40 sehingga RM12.90 sekilogram berkuat kuasa semalam sehingga 31 Ogos depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan memaklumkan, harga siling runcit ayam standard berbeza berdasarkan lokasi bagi negeri Sarawak iaitu RM9.80 sehingga RM12.90 sekilogram manakala bagi Pantai Barat Sabah pada kadar RM11 sekilogram dan Pantai Timur Sabah (RM11.30).

Sementara itu, di Langkawi harga siling bagi sekilogram ayam standard adalah RM9.40 dan Labuan (RM11.30).

Harga siling runcit telur ayam pula pada kadar 0.45 sehingga 0.51 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sehingga 0.50 sen/biji) dan gred C (0.41 sehingga 0.49sen /biji).

Menurut KPDNHEP, keputusan Jemaah Menteri menetapkan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat rakyat.

Ini termasuk penternak, pembekal, peruncit dan pengguna terutamanya golongan B40 dan M40 dalam menghadapi masa sukar peningkatan kadar inflasi seluruh dunia yang turut melanda negara ini.

“Dengan pelaksanaan harga siling baharu ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Peniaga patuh harga siling

Di JOHOR BAHRU: para peniaga ayam patuh dengan harga siling baharu RM9.40 sekilogram yang ditetapkan oleh kerajaan berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kip Mart Tampoi mendapati para peniaga meletakkan tanda harga RM9.40 sekilogram di hadapan gerai masing-masing.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor juga tidak menerima sebarang laporan tentang peniaga yang menjual ayam dan telur melebihi siling baharu ditetapkan.

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati peniaga mematuhi harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, lokasi tumpuan pemeriksaan adalah pasar basah, pasar awam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti ayam, telur, minyak masak dan sebagainya mencukupi dan mudah diperoleh.

Mulai semalam juga minyak masak turut dijual tanpa subsidi namun kebanyakan peniaga kedai runcit belum menetapkan harga baharu.

Seorang peniaga kedai runcit di Kipmall Tampoi, Sofian Shafiee 42, berkata, dia perlu menghabiskan stok lama minyak masak yang masih ada sebelum menerima stok baharu minyak masak dengan harga baharu.

“Bagaimanapun minyak masak 5 kilogram habis terjual sebanyak 60 botol sejak semalam, berkemungkinan orang ramai mengambil kesempatan sebelum kenaikan harga baharu,” katanya.

Peniaga di Sungai Petani jual ayam RM11 kerana stok lama

Di SUNGAI PETANI: Peniaga ayam didapati masih menjual ayam proses melebihi RM11 sekilogram namun tiada lagi caj pemprosesan dikenakan seperti sebelum ini.

Menurut peniaga, mereka terpaksa menjual harga RM11 sekilogram kerana idak mahu kerugian berikutan masih menggunakan stok ayam yang dibeli dengan harga tinggi sebelum ini.

“Stok ayam diperoleh minggu lalu dengan harga yang tinggi dan masih banyak yang ada, jadi saya perlu habiskan bekalan ini dahulu,” katanya yang enggan dikenali dan menjalankan perniagaan di pasar pagi Taman Ria Jaya di sini.

Peniaga ayam di Pasar Borong Kampung Atap, Jalan Sekerat yang hanya mahu dikenali sebagai Halim juga berkata, dia perlu menghabiskan stok sedia ada dengan menjual RM11 sekilogram semalam.

“Kita bukan menentang harga standard baru yang ditetapkan tetapi tiada pilihan kerana terpaksa habiskan stok sedia ada. Tetap bagi meringankan beban pengguna kita tidak lagi mengenakan caj proses,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam di Jalan Bakar Sampah yang mahu dikenali sebagai Pak Din berkata, mungkin dalam masa terdekat dia akan kembali menjual ayam berdasarkan harga siling RM9.40 seperti yang diarahkan.

Adu kepada KPDNHEP jika bekalan minyak masak berkurang

Di ARAU: Peruncit atau peniaga yang berdepan masalah kekurangan minyak masak peket bersubsidi boleh berhubung terus dengan KPDNHEP bagi mendapatkan bekalan bahan kawalan itu.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, pihaknya akan mengaturkan dengan pemborong bagi melakukan penghantaran minyak masak itu kepada pihak terlibat.

Katanya, pengeluaran minyak masak peket bersubsidi di Perlis sememangnya tidak mencukupi bagi menampung permintaan namun pemborong telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan bekalan dari luar.

“Inisiatif ini telah lama digerakkan ketika negara mula mengalami krisis bekalan barangan itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan sempena Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) di Pasar Raya C-Mart di sini semalam.

Tambah Norazah, pada masa ini, orang ramai tidak perlu khuatir kerana bekalan di negeri ini masih mencukupi untuk menampung permintaan rakyat di Perlis.

Mengulas mengenai pasaran ayam di Perlis, Norazah berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi mendapati bekalan barangan keperluan tersebut juga mencukupi dan melebihi jumlah permintaan.

“Kebanyakkan peniaga turut mematuhi penetapan harga siling ayam RM9.40 sekilogram seperti ditetapkan. Kita juga tidak mengeluarkan sebarang kompaun dan hanya menumpukan kepada advokasi secara berhemah bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan minyak masak dan ayam negeri ini dijangka mencukupi sehingga sambutan perayaan Aidiladha.

“Tinjauan mendapati, bekalan ayam sangat banyak dan saiz ayam pula agak besar. Maklum balas daripada pengguna juga mendapati ayam sangat mudah didapati di pasaran dan jumlahnya lebih banyak daripada biasa,” katanya.

Tempoh seminggu untuk pasukan khas buktikan peranan

Di PETALING JAYA: Penternak ayam kecil-kecilan memberi tempoh sekurang-kurangnya seminggu kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk melaksanakan peranannya dalam menyelesaikan isu kenaikan harga ayam dan telur.

Seorang daripada mereka berkata, penilaian akan dibuat dari semasa ke semasa jika masih tiada sebarang pembaharuan dilaksanakan pasukan khas itu.

“Kalau masih tiada apa-apa pelaksanaan, kita akan pertikaikan kembali pasukan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan satu kumpulan penternak ayam kecil-kecilan di negara ini mempersoalkan keberkesanan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sedangkan ‘penasihat utamanya’ masih bergantung kepada wakil gergasi industri yang sama sejak sekian lama.

Walaupun ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, namun agensi kerajaan itu bergantung kepada input industri yang dibekalkan oleh persatuan penternakan tersebut yang terdiri daripada pemain-pemain gergasi swasta industri ayam.

Justeru kata sumber, bagaimana mungkin pasukan khas itu dapat beroperasi dengan lancar untuk mengawal industri ayam dan telur, sedangkan yang menasihatinya adalah pihak swasta yang memikirkan laba dan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan soal kebajikan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN