Hanya mampu laungkan azan, rumah pusaka berusia 100 tahun musnah - Utusan Malaysia

Hanya mampu laungkan azan, rumah pusaka berusia 100 tahun musnah

ROSNAH Daud (kiri) bersama cucunya hanya mampu termenung di tangga rumah selepas sebahagian besar rumah pusaka berusia 100 tahun itu musnah dibadai ribut di Kampung Lubuk Besar, Santan, Padang Besar Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang warga emas hanya mampu melaungkan azan dalam keadaan ketakutan ketika angin kencang menerbangkan bumbung dan merosakkan sebahagian besar rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di Kampung Lubuk Besar, Santan di sini.

Rosnah Daud, 74, berkata, ketika hujan lebat beserta angin kencang kira-kira pukul 11.30 pagi itu, dia sedang membasuh daging korban dan turut berada di rumah, seorang cucu lelakinya.

“Ketika angin mula bertiup kencang, saya hanya mampu melaungkan azan, berdoa agar angin segera berhenti dan mohon berlindung dari malapetaka. Keadaan waktu itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

“Secara tiba-tiba, keadaan dalam rumah menjadi sangat cerah dan kemudian, baru saya sedar angin menerbangkan hampir keseluruhan bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hujan lebat beserta angin kencang sepanjang hari ini menyebabkan kira-kira 50 buah rumah di seluruh negeri ini terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor dilaporkan berkata, kebanyakkan rumah mengalami kerosakan struktur serta bumbung diterbangkan angin kencang.

Kata Mohd. Nazim, antara kawasan terjejas seperti di Paya, Lubuk Sireh, Padang Pauh, Mata Ayer, Panggas, Kubang Perun, Ulu Pauh, Batu 5, Abi, Kurung Batang, Wang Besar dan Kuala Perlis.

Tambah Rosnah, kejadian tersebut turut menyebabkan sebahagian besar rumah kayu didiami mereka tercabut dinding manakala beberapa tiang rumah berganjak dari kedudukan asal.

Katanya, rumah pusaka berusia lebih 100 tahun itu dirasakan sudah tidak selamat didiami dan dia bercadang untuk berpindah ke rumah anaknya di Taman Haz Melati yang terletak berhampiran buat sementara waktu.

“Saya masih lagi terkejut dengan kejadian tersebut, namun, pada masa sama bersyukur kerana kami berdua tidak tercedera,” katanya.

Sementara itu, cucu warga emas tersebut, Muhammad Amir Ashraf,15, berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam bilik manakala nenek di dapur.

“Semasa angin kencang itu berlaku dalam sekelip mata, saya dapat rasakan rumah kayu yang didiami kami bergegar dengan kuat. Saya juga turut melaungkan azan dan sebaik sahaja keluar dari bilik untuk melihat keadaan nenek, saya dapati bumbung rumah telah tiada,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN