Gunung Inas masih belum selamat

Gunung Inas masih belum selamat

Gambar Gunung Inas selepas kejadian kepala air yang melanda Kampung Iboi di Banting, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawasan Gunung Inas di Kupang, Baling masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batuan berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam siasatan awalnya mendapati perubahan arus deras secara mendadak bila berlaku hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing-puing batuan dalam laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan tersebut.

“Sebagai langkah awal, kementerian mengeluarkan satu surat pemakluman rasmi kepada kerajaan negeri Kedah pada 22 Julai 2022 iaitu perihal Langkah Kewaspadaan Awam Di Kawasan Tadahan Gunung Inas, Baling, Kedah.

“Kementerian menyarankan agar kerajaan negeri Kedah mengambil perhatian terhadap zon bahaya dan zon kawalan yang dibangunkan untuk tujuan pengurusan bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, JMG telah membuat lawatan di tempat kejadian seawal 15 sehingga 23 Julai untuk mengadakan pemeriksaan tapak dan laporan telah dihantar pada 17 Julai dan laporan keseluruhan akan disiapkan sebelum 4 Ogos.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai perancangan kerajaan dalam memastikan keselamatan penduduk di sekitar Gunung Inas susulan bencana kepala air di kawasan itu.

Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan, siasatan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati, projek durian hibrid atau Musang King melanggar kelulusan yang diberikan untuk projek ladang hutan itu.

Katanya, ia berikutan hanya 11 spesies tanaman diluluskan, tidak termasuk durian Musang King.

“Pada 10 Disember 2019, kerajaan Kedah pada masa itu meluluskan penanaman durian Musang King atas 20 peratus keluasan ladang hutan yang dibenarkan.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melihat itu sebagai pelanggaran syarat. Sebanyak 5,000 pokok ditanam di kawasan seluas 52 hektar di Gunung Inas.

“Pada 2020, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melalui Menteri Besar sekarang, mengarahkan pemberhentian segera aktiviti penanaman pokok durian, dan mencadangkan Gunung Inas dijadikan hutan perlindungan bagi tujuan kawasan hutan tadahan air supaya ia tidak boleh diusik dan memberi jaminan keselamatan kepada penduduk Baling,” katanya.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, tiga kolam takungan sebesar padang bola dipenuhi air di puncak Gunung Inas bukanlah punca insiden kepala air baru-baru ini.

“Secara jujurnya, kajian belum dapat mengesahkan kewujudan kolam takungan di atas Gunung Inas sebagai punca kejadian kerana kolam itu belum pecah, sedangkan kejadian sebelum ini sudah berlaku.

“Bagaimanapun, kementerian mengambil maklum pada cadangan untuk mengeluarkan air daripada kolam ini, tetapi pelaksanaannya bergantung pada kerajaan Kedah.

“Pampasan daripada syarikat yang mendapat konsesi balak juga tertakluk pada kerajaan Kedah untuk menggunakan budi bicara menguatkuasakan pampasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN