Graduan TVET sandaran masa depan negara - Utusan Malaysia

Graduan TVET sandaran masa depan negara

ZAINAB AHMAD (lima dari kiri) menyampaikan Piala Pusingan FIRA Malaysia Cup 2022 kepada Politeknik Sultan Idris Shah yang muncul juara keseluruhan, di PIS, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yakin sistem pendidikan negara sedang mengorak langkah positif untuk mencapai sasaran 55 peratus graduan terlibat dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjelang 2025.

Ketua Pengarahnya, Zainab Ahmad berkata, ketika ini, kira-kira 30 hingga 40 peratus graduan baharu yang dilahirkan negara terlibat dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, pendidikan dalam bidang TVET bukan sahaja dilaksanakan oleh JPPKK, malah, turut melibatkan 11 kementerian yang berbeza.

“Memang sasaran adalah seramai 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceburi bidang TVET menjelang 2025 dengan sekarang, kita dalam anggaran sekitar 30 hingga 40 peratus. Jadi, usaha itu sedang digerakkan.

“Bidang TVET ini juga terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan jantina mereka, terdapat pelbagai bidang yang boleh disertai mengikut minat dan kepakaran mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan 15th Federation Of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia Cup 2022 di Politeknik Ibrahim Sultan, di sini hari ini.

Katanya, pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu memang mengurangkan jumlah permohonan lepasan SPM untuk mengikuti pengajian termasuk dalam bidang TVET, namun, perkara itu dilihat semakin pulih.

“Pelbagai kursus kita kenal pasti. Jadi, lepasan SPM boleh masuk ke program sijil dahulu kemudian menapak ke program diploma dan seterusnya. Saya yakin dan percaya bahawa pelajar yang dahagakan ilmu dan kemahiran akan pergi ke program TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, FIRA Malaysia Cup 2022 menyaksikan Politeknik Sultan Idris Shah muncul johan keseluruhan selepas mengumpul empat pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu.

Kejayaan kali ketiga politeknik berkenaan dicapai selepas mengalahkan 16 politeknik dan empat Kolej Komuniti dari seluruh negara dalam pertandingan yang melibatkan seramai 234 peserta. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya