PETALING JAYA: Hampir tiada gelandangan di pusat bandar. Bagaikan tidak percaya, namun, itulah hakikatnya pemandangan yang boleh diperlihatkan kepada pelancong ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jumlah gelandangan di ibu kota didapati menyusut dan majoritinya tidak lagi berpeleseran di kaki lima.
Malah mereka juga tidak kelihatan lagi di pekarangan Masjid Negara, kaki lima Bangkok Bank Jalan Silang, kaki lima Kolej Segi dan hadapan Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Difahamkan, majoriti daripada golongan tersebut berjaya dibantu oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memulakan hidup baharu.
Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Datuk Munirah Abdul Hamid berkata, jumlah gelandangan di ibu negara itu semakin berkurangan apabila sebahagian daripada mereka berjaya dibantu mendapatkan kehidupan baharu seperti kerja dan tempat tinggal.
Menurut beliau, antara langkah yang turut membantu dalam mengurangkan populasi kumpulan tersebut di ibu kota adalah penubuhan Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana (Anjung Kelana).
“Jumlah rakan jalanan memang berkurangan sebab ada setengahnya sudah kita selamatkan dan ditempatkan di Anjung Kelana. Di sana, kita tidak ambil ramai kerana ingin memberi fokus sepenuhnya supaya kumpulan tersebut dapat melalui pembangunan kemahiran seperti perkebunan bandar tetapi jumlah itu akan sentiasa berpusing.
“Jadi, apabila mereka sudah mempunyai kemahiran, mana-mana syarikat yang berminat dengan perkebunan bandar boleh mengambil kumpulan tersebut untuk bekerja dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Anjung Kelana adalah tempat perlindungan bagi para gelandangan dan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pendidikan dan latihan kemahiran teknikal, perkhidmatan perubatan, makanan dan minuman, bimbingan pembinaan sahsiah serta peluang pendidikan dan pekerjaan.
Malah, sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan tidak meninggalkan mana-mana kumpulan rakyat susah di Kuala Lumpur termasuk gelandangan ibu kota.
Jelas timbalan menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, usaha golongan itu dalam bidang pertanian bandar amat dikagumi dan pihaknya komited mengubah masa depan hidup mereka.
Dalam perkembangan lain, Munirah menegaskan, Pertiwi sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan seperti makanan kepada golongan gelandangan supaya bekalan asas itu mencukupi.
“Kita juga tidak melupakan keluarga-keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan memberi sumbangan barang dapur, barang keperluan asas lain dan barang-barang keperluan untuk kembali ke sekolah. Ini adalah untuk pastikan mereka ada secukupnya walaupun sumber pendapatan mereka berkurangan ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN










