PETALING JAYA: Laman Facebook sebuah sekolah menengah teruk dikecam dan diserang warganet kerana mengundang pempengaruh kontroversi, Haqiem Stopa untuk memberi motivasi kepada para pelajar di sekolah berkenaan beberapa hari lalu.
Ramai menyatakan rasa kecewa dan tidak puas hati kerana pihak penganjur menjemput pemuda berkenaan yang dilihat masih mentah untuk berkongsi kisah hidup bersama para pelajar.
Mereka menyifatkan tidak ada kejayaan yang boleh dikongsi pemuda berkenaan kepada para pelajar sekolah walaupun ia berkisar mengenai peluang kedua.
Malah, ada suara-suara nakal mencadangkan pihak sekolah supaya menjemput Abang Viva yang berkorban membawa bot peribadinya dari Pulau Pinang untuk menyelamat mangsa-mangsa banjir di Shah Alam, Selangor tahun lalu.
Mujahid Saari berkata:
“Dah takde orang lain ke nak jemput bagi motivasi?
Shaharizan Ishak pula berkata;
“Platform peluang kedua? Salah orang dan bidang cikgu oiii..kurang-kurang, cari la yang ambil SPM dua tiga kali atau insaf selepas join kongsi gelap waktu sekolah atau insaf selepas derhaka pada org tua.”
Ahmd Zulfazli pula memberitahu, pakaian dan penampilan pemuda berkenaan tidak menghormati dunia pendidikan.
“Ehh kau berurusan ke pejabat atau jabatan kerajaan, kau kena ikut etika, inikan pula salah satu tempat mulia iaitu sekolah. Stopa tak salah, itu memang diri dia dan sendiri mengaku mat rempit. Tapi, tak sesuai untuk berpenampilan begitu dalam kawasan sekolah,” katanya.
Sementara itu, di dalam video yang dikongsi dalam media sosial, Haqiem tampil membuat penjelasan mengenai pertikaian ini.
“Saya tak galakkan awak berhenti sekolah, saya tak galakkan ikut jalan saya. Jalan yang saya ada ini, jalan yang saya lalui adalah jalan yang sukar untuk orang lain.
“Kalau andai kata kita boleh tukar, awak merasa sekejap kisah hidup saya, abang pasti kau tak akan terima jalan cerita ini dik, satu KL kecam kau dik,” katanya. –UTUSAN ONLINE










