BERA: Proses digitalisasi yang berlaku di negara ini dengan begitu pesat sejak sejak dua tahun lalu adalah antara sisi positif penularan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sepanjang tempoh PKP, kita hanya melihat perkara negatif tanpa kita sedar ada perkara positif iaitu perkembangan dunia digital yang mana perniagaan secara dalam talian semakin berkembang.
“Sebagai contoh seorang penjual bunga di daerah ini berjaya menjana pendapatan RM2,000 melalui jualan secara digital berbanding RM400 jualan secara fizikal,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Huawei Ruralstar Pro dan Penyerahan Huawei Matepad kepada pelajar daerah ini di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Ismail Sabri juga berkata, proses digitalisasi membolehkan kehidupan harian diteruskan sepanjang tempoh PKP tanpa menganggu kelangsungan tidak hanya produktiviti perniagaan malah juga pendidikan.
“Ketika pandemik, pelajar tidak dibenarkan bersemuka dan hanya secara dalam talian. Ini merupakan perkembangan terbaru negara sewaktu PKP dilaksanakan,” katanya.
MANFAAT
Menurutnya lagi, meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.
“Dengan adanya RuralStar yang merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi lengkap.
“Pelancaran RuralStar ini begitu penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan saling hubungan kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 200 tablet jenama Huawei beserta kad sim Celcom diserahkan kepada golongan pelajar di daerah ini yang memerlukan bantuan pembelajaran.
“Saya berasa sukacita kerana kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa berusaha membawa arus kemajuan ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama.
“Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Saling hubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran kerajaan,” katanya. – UTUSAN










