Defisit kepercayaan: Lihat rekod cemerlang negeri bawah PH - Utusan Malaysia

Defisit kepercayaan: Lihat rekod cemerlang negeri bawah PH

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Defisit kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh ‘ditepis’ bersandarkan kepada rekod kecemerlangan negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

Menerusi pencapaian sedia ada, ia perlu ditunjukkan dan dikekalkan kepada rakyat bahawa PH diterajui ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih layak membentuk kerajaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Parlimen DAP Malaysia, Nga Kor Ming berkata, rakyat sepatutnya disajikan dengan fakta dan tidak dipengaruhi emosi serta persepsi negatif hanya disebabkan dakwaan PH gagal menguruskan kesepaduan selama menjadi kerajaan dalam tempoh singkat.

Merujuk kepada tiga negeri jajahan PH iaitu Pulau Pinang (DAP), Selangor (PKR) dan Negeri Sembilan (PKR), Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, ketiga-tiga negeri mempunyai rekod cemerlang masing-masing selain menjadi beban bukti bahawa rakyat tidak wajar mempunyai isu keyakinan terhadap PH.

“Hutang kerajaan Pulau Pinang adalah paling sikit dalam kalangan semua negeri dengan jumlah wang rizab hampir RM2 bilion tetapi hutang hanya RM48 juta dan hari esok pun boleh bayar semua hutang ini.

“Di Negeri Sembilan, pelaburan asing sudah mencecah hampir empat kali ganda, lebih kurang RM4.7 bilion berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu hanya lebih RM1 bilion.

“Selangor pula paling banyak tawar insentif kebajikan untuk rakyatnya seperti air percuma, Kad Peduli Sihat, bas percuma, internet dan pelbagai pelaburan asing. Ini semua hasil pentadbiran telus, bersih dan berintegriti, bukan sekadar persepsi negatif tidak adil untuk kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isnin lalu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, PH bakal mengalami defisit kepercayaan daripada rakyat kerana kegagalannya menguruskan kesepaduan sejak mentadbir negara merujuk kepada tahap keyakinan, ketidaksehaluan parti dan peralihan segmen pengundi.

Bagaimanapun, Kor Ming berkata, setiap kajian mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri, namun, beliau menegaskan yang PH perlu bangkit semula dan menguatkan jentera pilihan raya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, mana-mana badan kajian termasuk Ilham Centre tidak dapat membuat ramalan tentang sesuatu yang akan berlaku sekalipun menang atau kalah PH dalam pilihan raya.

“Mereka hanya membuat kajian selepas sesuatu peristiwa telah berlaku, jadi mereka tiada kepakaran untuk meramal masa depan. Ia bergantung kepada apa tindakan yang dilakukan sekarang hinggalah menjelang pilihan raya.

“Jadi, semestinya kena kerja keras dan kesemua parti pembangkang bersatu. Sebolehnya satu lawan satu menentang kerajaan. Kalau pun terpaksa bersaing tiga penjuru, kena kemukakan hujah pada rakyat yang PH tidak gagal cuma tidak berkesempatan melaksanakan semua janji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN