Cucu bangga filem Mat Kilau laris, popular - Utusan Malaysia

Cucu bangga filem Mat Kilau laris, popular

ISMAIL Abd. Muttalib (lima kiri) bersama cucu Mat Kilau, Mohd. Alhamadi Abu Bakar (tiga kanan) ketika hadir pada tayangan filem anjuran persatuan sukan, kebajikan dan kebudayaan JBPM di IOI CIty Mall, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cucu kepada pahlawan Melayu, Mat Kilau menyifatkan filem yang dihasilkan berkisar perjuangan datuknya sebagai mempunyai daya tarikan dan kekuatan tersendiri selain membangkitkan semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu.

Mohd. Alhamadi Abu Bakar, 55, berkata, ini kerana filem berjudul Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan masih menerima sambutan hangat dan luar biasa dalam kalangan rakyat di negara ini walaupun sudah tiga minggu ditayangkan di pawagam.

“Pada pandangan saya, ia satu kerja yang baik kerana dapat membangkitkan semangat jati diri Melayu Islam selain mengembalikan semula zaman kegemilangan orang-orang Melayu yang jati dirinya semakin pudar.

“Penerimaan filem yang menggunakan nama tokoh Mat Kilau ini juga mempunyai kekuatan yang tersendiri sehingga ia berjaya membuat kutipan yang sebegitu,” katanya ketika ditemui pemberita pada tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan anjuran Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di IOI City Mall di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Mohd. Alhamadi yang merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda, Kuantan itu turut melahirkan rasa bangga sebagai salah seorang pewaris apabila nama tokoh pahlawan Melayu berkenaan diangkat ke dalam sebuah filem.

“Paling penting saya ucapkan tahniah kerana menggambarkan Mat Kilau yang sebenar dan tidak menggambarkan jalan cerita yang dongeng. 

“Kita juga ucap ribuan terima kasih dan berbangga apabila satu nama tokoh Melayu yang besar diangkat semula serta menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Ketika ditemui, Mohd Alhamadi juga sempat menunjukkan keris milik Mat Kilau yang sudah berada di dalam simpanannya sejak tahun 2002 setelah diwarisi daripada bapanya, Abu Bakar Awang.

“Keris ini merupakan permulaan penentangan Mat Kilau terhadap penjajahan Inggeris di negeri Pahang pada tahun 1890 yang diterima pada usia 16 tahun daripada ayahnya, Tok Gajah,” katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara itu mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari dan ramai lagi. 

Sehingga semalam, filem berkenaan terus mencetuskan fenomena apabila mengaut lebih RM71.27 juta. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya