PETALING JAYA: Prestasi Bursa Malaysia dijangka terus bertahan menunggu petunjuk yang lebih baik daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), sama ada akan menaikkan lagi kadar faedah untuk mengimbangkan laporan kadar inflasi AS yang menjangkau 9.1 peratus melebihi jangkaan awal pada 8.0 peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bursa di AS masih menunjukkan prestasi memuaskan namun masih menunggu petunjuk daripada Fed AS sendiri.
“Bagaimanapun, pengaruh berita-berita yang mengunjurkan Kemelesetan dunia pada tahun depan semestinya membimbangkan para pelabur bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia akan menyaksikan sentimen pasaran yang bearish atau muram.
“Pengurus dana pula pastinya memilih untuk melabur dalam bon-bon terbitan AS yang kini mempunyai kadar faedah tinggi dan risiko rendah.
“Justeru, pelaburan di bursa-bursa saham dijangka seiring dengan peralihan keluar daripada aset-aset lain seperti emas dan mata wang kripto kepada pasaran bon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Bursa Digital Research berkata, paras pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia telah merosot sebanyak RM126 bilion, mencatatkan kejatuhan terbesar pada bulan tahun sehingga kini (YTD) dalam senarai Bursa.
Prestasi itu di tengah-tengah kebimbangan yang berlarutan mengenai potensi kemelesetan di AS dan pengetatan dasar monetari global atau kenaikan kadar faedah untuk melawan inflasi.

Jelas Aimi Zulhazmi, sentimen pasaran yang bearish sangat mempengaruhi pasaran-pasaran saham dunia.
Ujarnya, unjuran AS menuju kemelesetan ekonomi kelihatan semakin hampir menunjukkan beberapa tanda ekonomi yang perlahan, contohnya laporan indeks harga pengguna (IHP) Jun 2022 mendedahkan kadar inflasi tahun ke tahun mencecah 9.1 peratus, kadar tertinggi sejak 1981.
“Harga komoditi utama seperti minyak mentah yang mula menurun juga memberi tanda permintaan ekonomi semakin menurun berikutan kos faedah yang tinggi dan tidak menggalakkan perkembangan perniagaan.
“Bank-bank termasuk Citigroup, Deloitte dan PNC Financial Services, sebelum ini meramalkan kelembapan ekonomi pada 2023, tetapi ramalan baru-baru ini mengatakan kemelesetan boleh berlaku pada 2022 atau lebih awal,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan kadar faedah bermakna kuasa beli para pengguna berkurang, sekali gus menghakis pendapatan boleh guna sebenar.
Malah katanya, penurunan perbelanjaan pengguna adalah satu lagi tanda kemelesetan yang menjulang.
“Mungkin menjelang September nanti akan terdapat ‘penurunan secara langsung’ dalam perbelanjaan pengguna apabila lebih ramai orang menggunakan simpanan mereka untuk menampung kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat.
“Dengan penurunan jumlah simpanan para pengguna serta peningkatan hutang kad kredit, ia meninggikan risiko hutang isi rumah dan ini bukanlah satu perkara yang mampan dalam jangka masa panjang,” ujarnya. – UTUSAN