Bersatu tidak akan ‘tekan butang’, usah layan tuntutan

Bersatu tidak akan ‘tekan butang’, usah layan tuntutan

pru15
MOHD. RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan berani ‘menekan butang’ dan menarik sokongan terhadap kerajaan jika tuntutan mereka terhadap jawatan penting termasuk Timbalan Perdana Menteri tidak dipenuhi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan tuntutan itu, sebaliknya terus menumpukan usaha membantu rakyat.

Namun, katanya, UMNO sudah sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Bersatu menarik sokongan.

Beliau berkata, jika Perdana Menteri melayan tuntutan mereka, perkara itu akan memalitkan nama Perdana Menteri kerana membangkitkan isu jawatan serta kepentingan individu ketika rakyat sedang dihimpit cabaran masa kini.

“UMNO perlu terus memberi penjelasan kepada rakyat bahawa UMNO tiada kena-mengena dengan Bersatu agar kita tidak terpalit dengan ketamakan mereka,” katanya.

Kelmarin Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kini bukan masanya untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri ataupun menambah lagi menteri baharu kerana jumlah sedia ada sekarang adalah rekod Kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia.

Katanya, soal itu tidak termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf menteri termasuk duta-duta khas yang dilantik bagi memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini.

“Pada saat rakyat tengah susah hadapi kenaikan harga barang, kantong kerajaan yang menipis hingga pelbagai subsidi untuk rakyat hendak dikaji balik, seharusnya tuntutan jawatan Menteri Kabinet tidak harus timbul,’’ ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN