KUALA KRAI: Seorang bapa terpaksa membatalkan majlis sambutan hari lahir anaknya selepas menerima panggilan yang memaklumkan rumah dan kedai miliknya di Kampung Cabang Tiga, Sungai Sok di sini hari ini hangus terbakar.
Dalam kejadian pukul 9.12 pagi itu, mangsa Zulfadli Mohamed, 37, tiada di lokasi kerana masih lagi beraya di kampung mentuanya di Kuala Terengganu selain sedang sibuk membuat persiapan menyambut hari lahir anak.
Zulfadli berkata, ketika sedang membuat persiapan untuk sambutan hari lahir anak hari ini, dia dikejutkan dengan panggilan yang memberitahu rumahnya terbakar.
“Sejurus menerima panggilan itu, saya terus bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah dan kedai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, seramai 15 anggota telah dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran.
Katanya, sebanyak dua buah jentera dari BBP Sungai Durian dan BBP Tanah Merah turut membantu dalam penugasan tersebut.
“Menurut laporan komander operasi dua buah rumah hangus sebanyak 80 peratus, manakala dua buah kedai jenis separuh kekal terbakar hampir 100 peratus.
“Kejadian ini tidak melibatkan kecederaan mangsa dan pasukan bomba memadam kebakaran sehingga selesai bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya. –UTUSAN ONLINE