GEORGETOWN: Operasi loji rawatan air (LRA) di Sungai Dua di sini, terpaksa dihenti tugas selama empat jam hari ini kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, operasi loji itu ditutup bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari ini kerana air mentah dari Sungai Muda tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan loji rawatan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Katanya, penutupan operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di kawasan Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.
“Sebagai langkah segera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengalirkan air dari Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai empangan penyimpanan air bagi menghadapi keadaan luar biasa ini.
”Air dari Empangan Mengkuang ini disalurkan ke LRA Sungai Dua dan loji berdekatan untuk teruskan operasi loji supaya bekalan air sampai kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama International Advertising Association World Congress.
Bencana banjir di Baling kelmarin telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa melibatkan 112 ketua isi rumah (KIR). – UTUSAN










