Banjir di Baling: Lebih RM1.58 juta bantuan disalur agensi agama  - Utusan Malaysia

Banjir di Baling: Lebih RM1.58 juta bantuan disalur agensi agama 

AHMAD Marzuk Shaary menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih RM1.58 juta nilai bantuan termasuk wang tunai dan barangan keperluan berjaya dikumpulkan pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) setakat ini untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan itu akan diagihkan segera kepada mangsa banjir berkenaan sekali gus meringankan beban mereka. 

Beliau berkata, walaupun beliau berada di Mekah untuk menunaikan ibadah haji, namun, beliau sudah arahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menggerakkan misi bantuan itu.

“Alhamdulillah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Marzuk Shaary serta wakil agensi di bawah saya turun memberi bantuan dalam misi bantuan hari ini. 

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Hati terasa resah, gundah gulana saat melihat saudara mara kita ditimpa ujian, seolah-olah kita turut merasakan hal yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Katanya, beliau dan jemaah haji Malaysia di Mekah sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada semua mangsa yang terlibat.

Sementara itu, Jakim menerusi kenyataan berkata, Skuad Musa’adah Agensi Agama Prihatin Mangsa Banjir Pahang hari ini turun ke Pusat Pemindahan Sementara Surau An-Nur Taman Mesra Kupang dan Pusat Pemindahan Sementara SMK Jerai Baling, Kedah bagi menyampaikan bantuan. 

Menurutnya, Ahmad Marzuk juga menyampaikan sumbangan wang tunai dan beberapa keperluan seharian kepada mangsa banjir yang keseluruhannya bernilai RM1.58 juta. 

Antara keperluan seharian yang disampaikan ialah 200 set kit solat, 200 unit toto, 600 set KFC, 200 set makanan sedia dimakan, 100 set kit wanita dan tuala, 40 unit pampers dewasa, 20 unit susu bayi dan 20 susu dewasa. 

Hujan lebat hampir lebih tiga jam di Baling pada petang Isnin menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.

Bencana turut mengorbankan tiga sekeluarga masing-masing berusia antara 14 hingga 53 tahun akibat dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.