PETALING JAYA: Hubungan dagang Malaysia-Russia boleh terjejas dan merugikan negara sekiranya semua bank tempatan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk memboikot sebarang transaksi melibatkan Russia.
Tekanan itu berpunca daripada perang Russia-Ukraine yang bermula 24 Februari lalu apabila blok Barat terutama AS menyatakan sokongan terhadap Ukraine.
Difahamkan, antara entiti perniagaan tempatan yang didakwa terjejas akibat tindakan bank-bank di negara ini yang tunduk kepada AS itu adalah syarikat petroleum, pengeksport komoditi, elektrik dan elektronik.
Sumber pihak Russia mendedahkan kepada Utusan Malaysia, semua bank di negara ini bergantung kepada kawal selia kewangan pihak AS kerana beroperasi mengikut peraturan sistem Federal Reserve negara kerana semua urus niaga adalah dalam dolar AS.
“Jadi pengawal selia ini mengeluarkan arahan dalaman yang menjadi kemestian untuk dipatuhi oleh bank-bank Malaysia.
“Peraturan ini tidak boleh dielakkan. Kami sudah menyemaknya. Warganegara Russia tidak boleh membuka akaun di bank Malaysia kerana arahan korporat tidak mengesyorkan untuk berurusan dengan orang Russia sama sekali. Malah kerajaan Malaysia tidak boleh mempengaruhi keputusan bank kerana ia di luar kuasa mereka,” kata sumber berkenaan.
Menurutnya, kedutaan AS di seluruh dunia menghantar surat kepada badan-badan kerajaan dan syarikat besar supaya tidak berurusan dengan entiti ekonomi dan perdagangan Kremlin.
“Ini jelas merupakan satu bentuk tekanan secara langsung yang memberi kesan ke atas perdagangan Malaysia-ASEAN-Russia, sekali gus merugikan negara-negara yang terlibat,” kata sumber di sini semalam.
Menurutnya, eksport dari negara itu ke Malaysia juga terjejas, malah mendorong kepada kekurangan bekalan yang mendorong inflasi termasuk produk baja, minyak serta produk-produk pertanian.
“Walaupun kita menggunakan kapal negara ketiga, kargo mereka mungkin ditangkap atas perintah AS melalui keputusan mahkamah.
“Tetapi perkara yang paling bermasalah ialah banyak entiti perniagaan Malaysia tahu perjanjian dengan Russia boleh disabotaj oleh AS dan untuk mengelakkan masalah, mereka memilih untuk tidak mengambil risiko sama sekali,” kata sumber.
Dalam pada itu, sumber Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pihaknya turut mendapat maklumat tentang sekatan oleh bank-bank di Malaysia ke atas transaksi membabitkan pihak Russia di negara ini.
“Kita memang ada beberapa pelaburan daripada Russia dan setakat ini tiada lagi dengar pelabur dari Russia membawa keluar pelaburannya. Mereka melihat Malaysia sebagai negara yang sangat neutral dan mesra pelabur asing, jadi setakat ini tiada masalah malahan kita ada terima satu, dua prospek Russia yang menyatakan minat melabur di Malaysia,” kata sumber MIDA.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bagi tahun 2021, Rusia antara 30 rakan dagang utama Malaysia selama lapan tahun kebelakangan.
Untuk suku pertama 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan Russia meningkat 0.3 peratus kepada RM1.72 bilion (AS$0.42 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.
Angka eksport pula RM1.01 bilion (AS$0.25 bilion) disebabkan oleh lonjakan permintaan untuk produk getah. Jumlah import menyusut 28.7 peratus kepada RM0.71 bilion berikutan penurunan dalam import produk petroleum serta minyak mentah. – UTUSAN










