Biar diplomat ketuai misi di Indonesia

Biar diplomat ketuai misi di Indonesia

Indonesia
Malaysia, Indonesia mempunyai hubungan yang istimewa dan tidak boleh dikeruhkan dengan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan di meja rundingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lebih setahun jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong selepas Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021.

Tempoh itu bukan sahaja panjang, malah cukup kritikal memandangkan Malaysia-Indonesia sering terpalit isu-isu besar dan berbangkit dengan terbaharu melibatkan soal pembatalan memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan pekerja asing dari negara berkenaan.

Walaupun kekosongan itu dikatakan bakal diisi Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sejak Mei lalu, hingga kini tugasan beliau masih ‘tertangguh’.

Malah, tuan punya badan juga belum bersuara mengenai penangguhan watikah pelantikannya itu, dan tidak diketahui sehingga bila pula akan terus tertangguh, sama ada sebulan, dua bulan atau mungkin berlarutan sampai akhir tahun.

Dalam situasi mencabar pada masa ini, Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu sepatutnya sudah mula berkhidmat dan memainkan peranannya untuk mengharmonikan hubungan antara kedua-dua negara yang panas kini.

Timbul persoalan kenapa dibiarkan terlalu lama kekosongan itu tanpa diisi, sedangkan negara memiliki ramai diplomat berwibawa untuk menjadi pengganti bagi memikul amanah dan tanggungjawab mewakili negara ke Indonesia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia penasihat undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, tugasan Duta Besar Malaysia ke Indonesia sewajarnya diberikan kepada pegawai diplomatik dan bukan ahli politik.

Tegasnya, segelintir ahli politik berkemungkinan kurang kefahaman mendalam mengenai undang-undang dan hubungan antarabangsa di samping isu-isu politik yang berlegar antara kedua-dua negara,

“Jawatan itu tidak boleh dibiarkan kosong sebegitu lama, jika calon dilantik bermasalah, maka lebih baik ambil pegawai kedutaan atau Wisma Putra yang terlatih sebagai duta. Bagi saya langkah ini yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan pula berkata, Malaysia dan Indonesia memiliki hubungan istimewa dan banyak isu-isu sensitif yang perlu ditangani dengan bijaksana oleh seorang duta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN