Air zam zam tidak boleh dieksport, diperdagangkan - Utusan Malaysia

Air zam zam tidak boleh dieksport, diperdagangkan

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air Kementerian Kesihatan (KKM) setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. 

Ini kerana katanya, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut berikutan air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam. 

“Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen. Justeru, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Noor Hisham, KKM mengambil maklum isu penjualan air zam zam secara dalam talian seperti yang disiarkan oleh media tempatan pada Selasa lalu dan pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam telah pun diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran berjumlah RM83,618.20 selain saringan berterusan dijalankan ke atas platform dalam talian termasuk e-dagang. 

“Sejumlah 237 iklan makanan dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam zam. 

“Manakala hasil pemantauan di media sosial pula pada tahun lalu sehingga kini, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing telah dipadam daripada media sosial,” ujarnya. 

Beliau berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Orang ramai dinasihati agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan. 

“KKM juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zam zam di mana-mana kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang aduan awam KKM (http://moh.spab.gov.my); atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya