PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidiladha, semalam secara sederhana dengan ibadah korban dibenarkan tanpa sekatan tertentu pada tahun ini selepas lebih banyak kelonggaran diberikan dalam peralihan endemik Covid-19.
Masjid dan surau di seluruh negara menjadi tumpuan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dengan pematuhan kawalan kendiri tanpa had bilangan jemaah termasuk warga asing.

Di Pahang, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Berangkat sama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Di ibu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai ribuan warga kota menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti Kuala Pilah untuk solat Aidiladha.
Di Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat bersama jemaah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Di Melaka, Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd. Rahman menyertai ribuan jemaah menunaikan solat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, manakala di negeri-negeri lain, Aidiladha turut disambut meriah dengan kebanyakan pemimpin menyertai rakyat dalam ibadah korban. – UTUSAN









