Ahli Parlimen diberi taklimat isu tuntutan Sulu malam ini  - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen diberi taklimat isu tuntutan Sulu malam ini 

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu sesi taklimat tertutup berhubung isu tuntutan Sulu akan dibuat malam ini di sebuah hotel kepada semua ahli Parlimen.

Mendedahkan perkara itu, Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berkata, taklimat itu akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Semalam, saya percaya semua ahli Parlimen di blok pembangkang dan bebas menerima surat jemputan daripada Menteri di JPM.

“Tiga menteri akan memberi penjelasan dan taklimat. Selepas itu, kami akan adakan sesi soal jawab. Bagaimanapun, ini adalah satu taklimat tertutup,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, keputusan yang ditetapkan penimbang tara, Dr. Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan, Dr. Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN