Agong melawat pertunjukan udara antarabangsa FIA2022 - Utusan Malaysia

Agong melawat pertunjukan udara antarabangsa FIA2022

AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat komponen pesawat dalam Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA2022) yang berlangsung di Farnborough, United Kingdom. -IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA2022) yang berlangsung di Farnborough, United Kingdom semalam.

Seri Paduka Baginda tiba di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Farnborough pada jam 10.30 pagi dan disambut Pengerusi Farnborough International, Paul Everitt bersama barisan kepimpinan tertinggi  Farnborough International.

Baginda diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Zakri Jaafar.

“Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda berkenan melawat dan menerima sembah taklimat oleh setiap wakil syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian dalam FIA 2022.

“Ia termasuk lawatan ke Pavilion Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” menurut kenyataan Istana Negara.

Sebanyak 17 syarikat Malaysia dengan kerjasama Matrade dan tiga agensi kerajaan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara, Teraju Bumiputera Corporation dan Invest Selangor Bhd. mengambil bahagian di FIA2022 di bawah Pavilion Malaysia.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan bertemu dan menyantuni Menteri Eksport United Kingdom, Andrew Griffith dalam lawatan ini.

FIA2022 berlangsung selama seminggu bermula 18 Julai, menggabungkan pameran perdagangan untuk industri aeroangkasa dan pertahanan, dan pertunjukan udara.

Matrade mengambil bahagian dalam pameran dwi-tahunan ini sejak 2014.

Pada 2021, eksport bahagian dan komponen aeroangkasa Malaysia berjumlah RM 5.79 bilion dengan pasaran eksport utama ialah Perancis, China dan United Kingdom. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya