Ada orang gelak bila kita ada macam-macam jawatan kuasa - PM - Utusan Malaysia

Ada orang gelak bila kita ada macam-macam jawatan kuasa – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan peranan beberapa jawatan kuasa yang mempunyai tugas yang hampir serupa dengan satu sama lain.

Hal ini kerana kerajaan ketika ini mempunyai Majlis Tindakan Sara Hidup, Majlis Tindakan Ekonomi dan terbaru Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Ada orang gelak dan ada orang ketawakan kita bila kita ada macam-macam jawatan kuasa, jadi, saya nak maklumkan Jawatankuasa Khas Sara Hidup sebenarnya dah diwujudkan sejak 2014, ketika itu namanya Jawatankuasa Khas Kabinet menangani kos sara hidup waktu saya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Lepas itu, waktu kerajaan Pakatan Harapan pada 2018, ia ditukarkan namanya kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, jadi dah ada dah…bukan baharu, tetapi mesyuarat diadakan dua kali setahun dan majlis ini melihat kepada keseluruhan, bukan sahaja kenaikan harga barang tapi mereka ini pembuat dasar  dan melihat kepada semua isu, sama ada harga barang, kos pengangkutan perumahan…semua sekali bukan setakat harga barang sahaja.

“Cuma, apabila saya mengambil alih, saya lihat waktu itu lepas pandemik isu kenaikan harga barang tentu akan berlaku, jadi kita mengadakan mesyuarat dua bulan sekali, fokusnya melibatkan dasar,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat.

Jelasnya, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pula melihat kepada isu semasa yang terkini seperti kos sara hidup atau kenaikan harga barang dan bermesyuarat dua kali seminggu, Isnin dan Khamis serta melaporkan kepada rakyat tentang apa tindakan yang akan dilakukan.

“Jadi, pasukan khas ini dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa perlu membuat pengumuman atau sidang akhbar dua kali seminggu, jadi rakyat tahu perkembangan dan apa tindakan dilakukan oleh kerajaan.

“Annuar sebagai koordinator, kerana kementerian berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan lain-lain bermesyuarat setiap minggu dalam jawatankuasa di kementerian mereka dan mereka melaporkan kepada pasukan khas untuk diambil tindakan secara bersama.

“Sebab itu kita lantik Annuar sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk berhubung dengan rakyat apa tindakan dilakukan kerajaan, jadi itulah perbezaannya. Istimewa tidak istimewa saya tidak tahu tapi yang penting mesyuarat dah tiga kali dan setiap kali mesyuarat itu informasi telah pun dikeluarkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai keistimewaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan bezanya dengan jawatan kuasa lain berkaitan harga barang serta kos sara hidup yang ditubuhkan sebelum ini seperti Majlis Tindakan Sara Hidup dan Majlis Tindakan Ekonomi,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya