KUALA LUMPUR: Bilangan miskin tegar meningkat kepada 144,932 ketua isi rumah setakat 30 Jun 2022, susulan daripada penggunaan metodologi baharu pendapatan garis kemiskinan 2019 serta impak pandemik Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu jauh beza dengan 44,829 ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar pada 2020, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau eKasih diuruskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun katanya, masalah itu sedang ditangani menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia, memandangkan salah satu sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah membasmi kemiskinan tegar pada akhir 2025.
“Di bawah program ini, kaedah dan pendekatan dalam membasmi kemiskinan tegar adalah berbeza dan lebih holistik. Ini termasuk menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.
“Mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara dan berdasarkan masalah setempat, penglibatan pelbagai pihak merangkumi universiti awam, sektor swasta, industri dan lain-lain serta memperkenalkan dasar pemisah selepas tempoh dua hingga tiga tahun pelaksanaan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) mengenai bilangan rakyat negara ini yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga terkini 2022. – UTUSAN









