Wujudkan lebih banyak tempat pelancongan hijau - Utusan Malaysia

Wujudkan lebih banyak tempat pelancongan hijau

Luqman Hakim Md Zim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI : Pulau Langkawi telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai salah satu lokasi tapak geopark terawal yang ada di Asia Tenggara meliputi kesemua 99 buah kepulauan yang berada di sekitarnya sejak 2017.

Aktivis Kelab Belia Prihatin Malaysia, Luqman Hakim Md Zim berkata, usaha pembangunan sektor ekonomi ekopelancongan di Pulau Langkawi yang diusahakan oleh Langkawi Development Authority (LADA) wajar disambut dan menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun di negeri-negeri lain.

“Pembangunan ekonomi sememangnya perlu, namun, harus sejajar dan sensitif dengan keperluan menjaga alam sekitar. Disini, kita dapat lihat pelbagai lokasi menarik seperti Gua Kelawar yang dapat menjadi sumber pendapatan kepada penduduk sekitar melalui produk hiliran kepada pelancong yang hadir.

“Kami dimaklumkan kira-kira 89,000 pelancong datang ke pulau peranginan ini sepanjang cuti persekolahan minggu lalu. Pasti banyak manfaat jika kemudahaan berteknologi hijau seperti kenderaan mikro-mobiliti dapat diperkenalkan di pulau peranginan ini.” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Langkawi Geo-Park 2022 di Kilim Karst Geoforest Park baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Encik Nasaruddin Abdul Muttalib bagi merasmikan karnival penanaman 2,022 pokok bakau yang dianjurkan oleh LADA.

Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, pihaknya turut berhasrat membangunkan satu laluan pejalan kaki di Air Terjun Telaga Tujuh di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan bagi menarik lebih ramai pelancong.

Jelasnya, laluan pejalan kaki sepanjang tiga kilometer (km) itu mempunyai susunan semula jadi batu-batu kerikil yang bakal dijadikan laluan refleksologi.

“Beberapa fasiliti tambahan perlu dibina di kawasan berkenaan termasuk laluan pejalan kaki yang menarik dan kita akan bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk pembangunan produk baru ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya