UMNO sendiri tidak tetap, Pas masih buka ruang - Utusan Malaysia

UMNO sendiri tidak tetap, Pas masih buka ruang

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas tidak akan sesekali memutuskan Muafakat Nasional (MN) meskipun UMNO menyifatkan gabungan itu sudah sampai ‘surah akhir’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah berkata, parti Islam itu masih membuka ruang dalam keadaan UMNO tidak tetap dengan keputusannya kerana ada beberapa negeri yang masih menginginkan gabungan itu terus diperkukuh.

“Kita tidak akan putuskan MN, UMNO sendiri berubah-ubah pendirian, ada negeri putus, ada negeri tidak putus.

“Sebab itu kita buka ruang pintu untuk menyatukan orang Melayu ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan Pas yang tidak menepati janji dan konsisten menjadi punca kerjasama dengan UMNO dalam MN tergelincir selepas parti itu masih tetap memilih menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar turut berkata, belum ada pertemuan secara rasmi setakat ini antara pemimpin Pas dan UMNO bagi membincangkan mengenai pengukuhan MN.

“Memang tiada pertemuan rasmi, tetapi selalu bertemu itu ada. Sebab ada pemimpin UMNO yang kita bertemu merupakan pemimpin dalam Kabinet.

“Usaha untuk perkukuhkan MN ini mesti daripada pihak atasan, diketuai Timbalan Presiden. Jadi kita serah kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang pertemuan yang dibuat antara pemimpin UMNO dan Pas bagi membincangkan lebih lanjut mengenai MN ini, namun tidak menolak isu tersebut akan dibincangkan pada 24 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN