Tokoh pendidikan, Arshad Ayub meninggal dunia - Utusan Malaysia

Tokoh pendidikan, Arshad Ayub meninggal dunia

ARSHAD AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tokoh Pendidikan Negara, Tun Arshad Ayub disahkan meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital sejak Selasa lepas.

Perkara itu disahkan anak kepada Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, Azmi Arshad menerusi satu kenyataan yang memaklumkan jenazah Allahyarham masih lagi berada di hospital.

Katanya, pengurusan jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan.

Sementara itu, UiTM ketika dihubungi memaklumkan Allahyarham sepatutnya menghadiri Istiadat permasyhuran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman sebagai Pro Canselor dalam Istiadat Konvokesyen Ke-93 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) hari ini.

Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.

Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun.

Sebagai Tokoh Pendidikan Negara, Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan terutama dalam kalangan Bumiputera termasuk mengkritik kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard diharapkan.

Malah, dalam laporan Utusan Malaysia sebelum ini, Arshad juga pernah mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah untuk mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya