PONTIAN: Pemimpin parti pembangkang tidak perlu mempersoalkan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat kerana tempoh Parlimen ketika ini sudah matang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka tidak senang dengan gesaan supaya PRU15 disegerakan kerana parti-parti pembangkang sedang bermasalah termasuk sesama mereka.
Katanya, empat tahun sudah berlalu sejak PRU-14 diadakan dan kini memasuki tahun terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan.
“Tiada masalah mahu bubar Parlimen, Covid-19 pun sudah terkawal. Buat apa nak dengar cakap pembangkang, mereka memang tak suka PRU sebab sedang menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengulas komen Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang hairan terhadap sikap pihak tertentu yang terlalu mendesak supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO menyokong agar pilihan raya berkenaan diadakan dalam waktu yang strategik selaras dengan mesej yang diterima melalui Konvensyen Barisan Nasional (BN) kelmarin.
Justeru, beliau meminta semua jentera parti supaya tidak lagi bertanya bila akan diadakan PRU yang sudah pasti akan menjelma tidak lama lagi.
“Kita terus buat persiapan apa yang patut, contohnya ketua pusat daerah mengundi (PDM) sudah boleh siapkan segala data, senarai nama jawatankuasa, peralatan dan lihat balik apa yang penting.
“Kerana Perdana Menteri kata PRU15 boleh dibuat bila-bila masa. Malah, semalam semasa Pengerusi BN tanya siapa mahu PRU tahun depan tiada yang sahut tetapi apabila dia kata siapa mahu tahun ini dan dalam masa yang sesuai semua bangun termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Jadi dalam erti kata lain kehendak wakil UMNO, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Friends of BN yang hadir mahu secepat mungkin diadakan PRU,” katanya. – UTUSAN










