BAGAN SERAI: Demi amanah dan tanggungjawab, kakitangan Pulau Orang Utan yang terletak di tengah Tasik Bukit Merah di sini sanggup berkayak sejauh 2.7 kilometer membawa makanan, minuman dan ubat-ubatan untuk Orang Utan di pulau itu berikutan paras air tasik itu surut.
Kakitangan tersebut, Muhammad Firdaus Anuar, 38, Mohamad Zaini Yusof, 35 dan Mohd. Razi Jumri, 32, berkayak kira-kira 45 minit dari Jeti Perkampungan Air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) untuk sampai ke jeti Pulau Orang Utan.
Menurut Muhammad Firdaus, bot yang sering digunakan untuk menghantar bekalan bagi keperluan Orang Utan tidak dapat beroperasi kerana air tasik Tasik Bukit Merah terlalu surut.
Air tasik itu surut disebabkan tiada hujan sejak kebelakangan ini berikutan musim panas.
“Selama ini penghantaran keperluan bekalan untuk Orang Utan dihantar menggunakan bot seminggu sekali.
“Apabila berlaku penyusutan air di tasik ini sejak minggu lalu, kami terpaksa berkayak setiap hari untuk menghantar bekalan keperluan ke Pulau Orang Utan hingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, bekalan makanan dan minuman yang dihantar itu untuk keperluan 14 ekor Orang Utan yang terdapat di pulau tersebut.
“Cabaran utama yang kami terpaksa ditempuhi ketika berkayak ialah mengelak daripada melanggar tunggul-tunggul kayu dan banir pokok yang timbul di permukaan tasik.
“Selain itu, semasa dalam perjalanan pulang pada sebelah petang, adakalanya kami terpaksa berdepan tiupan angin kuat yang memperlahankan pergerakan kayak,” katanya.
Katanya, waktu penghantaran bermula seawal pukul 9 pagi dan pulang pada lewat petang berdasarkan pada faktor cuaca.
Sementara itu, Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan, Norhafizi Mohd. Hafizudin berkata, pihak pengurusan terpaksa menggunakan empat buah kayak yang dinaiki empat orang pekerja dalam satu-satu masa untuk menghantar makanan dan minuman bagi Orang Utan di pulau itu.
“Kami perlu menghantar bekalan makanan dan air paip setiap hari bagi keperluan 14 ekor Orang Utan yang ada di pulau itu .
“Orang Utan hanya boleh diberi minum air paip kerana air tasik tidak sesuai dan boleh menjejaskan kesihatan haiwan tersebut,”katanya. –UTUSAN ONLINE










