KUALA LUMPUR : Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membincangkan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan suatu yang memeranjatkan kerana Barisan Nasional (BN) dianggap musuh politik parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ‘permusuhan’ itu jelas ketara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan pertembungan kedua-dua parti.
“Kita kena bersangka mereka adalah musuh politik yang sentiasa mahu menjatuhkan, apatah lagi pemimpin BN yang menjadi Perdana Menteri.
“Muhyiddin jumpa banyak pihak, menyatakan untuk menjadi Perdana Menteri, itu di pihak sana. Sedangkan UMNO sudah membuat keputusan yang poster boy adalah Ismail Sabri. Bayangkan pandangan mereka dan pandangan parti kami? Bukankah berbeza,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan MPT Bersatu 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Sumber mendedahkan, perkara itu antara dua cadangan yang didakwa dinyatakan sendiri oleh pemimpin parti tersebut dalam mesyuarat berkenaan.
Satu perkara lagi adalah membuat gabungan kesemua parti politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad turut mempersoal bagaimana Presiden Bersatu tersebut mempunyai niat untuk menjadi Perdana Menteri kembali dalam keadaan yang beliau sukar mendapat sokongan daripada parti pembangkang lain.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menyatakan sokongan secara jelas terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana perlu membalas budi dan tiada sebab untuk berpaling tadah.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, Bersatu perlu menyatakan sokongannya secara jelas terhadap kepemimpinan Perdana Menteri sebagai membalas budi Ismail yang menyokong kerajaan sebelum ini.
“Sebelum ini, Bersatu pernah menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, saya sendiri pernah mewakili parti menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










