SHAH ALAM: Isu berkenaan keraguan terhadap proses kiraan undi dalam Pemilihan PKR diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk meneliti sebarang pertikaian atau persoalan yang timbul.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan tersebut termasuklah pertikaian terhadap pemilihan Ketua Cabang di kawasannya, Gombak pada bulan lalu.
Beliau berkata, dirinya hanya bertanding merebut kerusi itu dan tidak terlibat dengan proses teknikal atau ahli jawatankuasa berkenaan.
“Perkara itu (kiraan undi) perlu dibuktikan dan tidak adil mendakwa isu timbul akibat masalah teknikal. Biar JPP mengesahkannya dan menunjukkan bukti siapa yang menang (pemilihan itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Hujung Mei lalu, calon Ketua Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meluahkan keraguan terhadap keputusan pemilihan PKR 2022 cabang berkenaan.
Bantahan rasmi akan dikemukakan Farhash untuk menyiasat ketelusan keputusan yang dikeluarkan oleh JPP sebelum itu.
Beliau mendakwa keputusan undian fizikal dan pengundian dalam talian (PAT) bagi cabang itu tidak munasabah berdasarkan data jumlah pengundi yang direkodkan pihaknya.
Farhash yang memperoleh 1,215 undi tewas kepada Amirudin yang mendapat 1,858 undi.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau agak terkejut memenangi kerusi berkenaan dan Naib Presiden PKR dengan jumlah undi yang besar.
“Alhamdulilah, saya bersyukur mendapat mandat yang selesa untuk meneruskan perjuangan bersama parti. Ia menunjukkan kepercayaan ahli PKR terutama di Gombak terhadap saya masih tinggi dengan lebih undi majoriti yang diperoleh,” ujarnya. – UTUSAN










