PETALING JAYA: Demi kepuasan, golongan ‘mat rempit’ sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk dijadikan pertaruhan semasa berentap di lebuh raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang mat rempit mendedahkan, duit taruhan itu adalah hasil pendapatan bulanan mereka yang dikumpul untuk memburu ganjaran berlipat ganda.
Menurutnya, hanya perlumbaan melibatkan bengkel sahaja ditaja sepenuhnya dan wang kemenangan akan dibahagi mengikut peratus dipersetujui oleh pelumba dan pemilik bengkel.
“Kalau mat rempit yang berlumba sendiri, mereka akan keluarkan duit poket sendiri untuk ditaruhkan, kalau ada yang nak sumbang pun mungkin penonton di bahu jalan atau kawan-kawan sendiri.
“Kalau perlumbaan antara bengkel ni memang sepenuhnya mereka beri wang tunai terus ke wakil pelumba mereka, perlumbaan ni kebiasaan bawa untung kepada kumpulan yang menang kerana bila salah satunya menang pasti ramai yang mahu ke bengkel mereka untuk ubah suai motosikal,” katannya ketika dihubungi.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, perlumbaan motosikal haram kembali aktif dengan menawarkan ganjaran lumayan bermula dari RM20,000 hingga RM450,000 kepada pemenang selepas dua tahun menyepi ekoran kawalan ketat sepanjang pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Melalui penyamaran, wartawan Utusan Malaysia dimaklumkan kos spesifikasi motosikal mengikut jenis bermula serendah RM1,260 hingga RM17,832 seperti yang tular di laman sosial sebelum ini.
Mengulas kos ubah suai itu, sumber menyifatkan ia sebagai satu pelaburan untuk memperoleh ganjaran dengan nilai lebih besar melalui perlumbaan haram.
“Ia macam pelaburan, nak ganjaran lebih besar kena keluarkan duit untuk modifikasi. Macam-macam barang perlu ditukar untuk menambahkan kelajuan motosikal mereka.
“Ada yang baru nak mencuba lumba haram ni, mereka tukar sedikit asalkan lepas untuk bertanding dengan motosikal yang spesifikasi kecil kalau menang duit boleh dilabur balik untuk meningkatkan spesifikasi enjin,” jelasnya. – UTUSAN










