RETI, PMSB lahirkan pelaut berkualiti

RETI, PMSB lahirkan pelaut berkualiti

AHMAD Firdhaus Ramlan (dua dari kiri) dan Masni Amit (tengah) menunjukkan Memorandum Persefahaman antara Ranaco Education & Training Institute (RETI) dan Pelita Maslaut Sdn. Bhd. (PMSB) yang ditandatangani di Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HIZWANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Ranaco Education & Training Institute (RETI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah pusat latihan marin, Pelita Maslaut Sdn. Bhd. (PMSB) sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai pelaut tempatan yang berkualiti.

Ketua Eksekutif RETI, Mislaiha A. Ghani berkata, selain melahirkan tenaga kerja yang berkaliber dalam bidang maritim, MoU itu antara lain bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang akademik, program pertukaran tenaga pengajar, pembangunan aktiviti akademik, serta program penyelidikan.

“RETI merupakan IPTS yang memfokuskan bidang maritim, keselamatan, luar pesisir (offshore), logistik dan hospitaliti manakala PMSB merupakan pusat latihan yang berfokuskan marin dalam menyediakan latihan dan kursus jangka pendek kepada orang ramai.

IMPAK POSITIF

“Dengan termeterainya MoU ini, saya kedua-dua pihak mampu memberi impak positif terutama dalam pembangunan bidang maritim di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara RETI dan PMSB, di sini, semalam.

MoU tersebut ditandatangani Pengarah Urusan Ranaco Group of Companies, Ahmad Firdhaus Ramlan bersama Pengarah Urusan Kumpulan PMSB, Masni Amit.

RETI menawarkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang maritim, keselamatan, kejuruteraan dan logistik serta ijazah sarjana muda pengurusan.

Institusi pengajian itu juga menawarkan kursus jangka pendek di bawah program Konvensyen Antarabangsa mengenai Standard Latihan, Pensijilan dan Pengawasan untuk Pelaut (STCW).

Mislaiha berkata, MoU tersebut menjadi titik permulaan yang sangat baik dalam menyokong aspirasi pendidikan berkemahiran di peringkat pengajian tinggi.

“Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran kerja yang tinggi, dalam bidang yang ditawarkan.

“Kita juga berharap hubungan yang terjalin antara kedua-kedua pihak akan dapat membantu menjayakan program-program yang dikenal pasti bagi meningkatkan kecemerlangan dan produktiviti baik RETI mahupun PMSB,” katanya.

Sementara itu, Masni berkata, MoU tersebut memberi peluang kepada PMSB memperkenalkan beberapa program baharu termasuk Diploma Pengurusan Maritim.

“Program baharu ini dijangka diperkenalkan tahun depan, dengan pengambilan pertama 100 orang yang mana kita akan memberi keutamaan kepada anak-anak Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengikuti pengajian tersebut,” katanya.

Masni berkata, kerjasama dengan RETI bakal memberi peluang kepada anak tempatan terutamanya belia di Borneo untuk mendapat tempat dalam bidang Maritim memandangkan pasaran kerja di negeri tersebut lebih luas.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengajian yang ditawarkan di RETI boleh hubungi di talian 09-8503160 atau layari laman web, reti.edu.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.