Pertukaran cuti hujung minggu Johor bukan dalam waktu terdekat - Utusan Malaysia

Pertukaran cuti hujung minggu Johor bukan dalam waktu terdekat

MOHD. JAFNI MD SHUKOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Keputusan untuk menukar cuti hujung minggu negeri ini daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad tidak akan dilakukan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ini kerana perkara tersebut memerlukan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Namun, katanya, kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan tentang isu tersebut.

“Di peringkat kerajaan negeri, perkara ini masih tidak ada sebarang keputusan lagi, cuma, kita sedang mengkaji dan mendengar permintaan dalam kalangan rakyat dan pihak berkepentingan.

“Tetapi pada masa ini belum ada apa-apa keputusan lagi kerana hakikatnya kajian menyeluruh perlu dibuat, perkara ini juga berkaitan dengan titah Tuanku. Jadi, sudah tentu perkenan Tuanku lebih utama.

“(Tetapi) bukan akan dilakukan dalam waktu terdekatlah,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan kemungkinan Johor sedang mengkaji pertukaran pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan ketika ini.

Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri ini yang ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menurutnya, kajian itu akan dijalankan ekoran keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama. 

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti mingguan negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan golongan lelaki yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut melaksanakan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti mingguan di negeri tersebut. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN