PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan untuk mempertimbangkan imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan yang berjaya meraih dua kejayaan membanggakan baru-baru ini.
Presiden PKR itu berkata, ini berikutan skuad hoki kebangsaan itu berjaya muncul Naib Juara Piala Asia 2022 dan layak ke Piala Dunia 2023.
“Mohon pertimbang juga imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan yang baru-baru ini menjadi Naib Juara Piala Asia 2022 dan juga layak ke Piala Dunia 2023,” menurut laman twitternya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan yang akan mempertimbangkan imbuhan kepada pasukan Harimau Malaya selepas berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun keputusan tersebut bergantung kepada hasil perbincangannya bersama Menteri Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Skuad skuad Speedy Tigers bimbingan Arul Selvaraj sebelum ini mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia 2023 selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok pasukan terbaik Piala Asia 2022.
Skuad hoki kebangsaan muncul Naib Juara Piala Asia 2022 selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi final di Stadium di Gelora Bung Karno di Jakarta, malam ini. –UTUSAN ONLINE