Pertaruhan paling besar RM165,000

Pertaruhan paling besar RM165,000

Mat Kassim Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengesahkan perlumbaan haram di negara ini melibatkan wang pertaruhan dan paling besar pernah dikesan polis berjumlah RM165,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, sejak tahun 2018 hingga tahun lalu, pihaknya mengenal pasti enam perlumbaan haram melibatkan pertaruhan berjumlah RM214,800.

“Yang paling tertinggi dikesan pada 2018 iaitu di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Changkat Jering, Perak (RM165,000) dan terbaharu pada 2021 melibatkan Lebuh Raya Shahpadu, kira-kira RM5,000 jumlah dipertaruhkan.

“Malah, JSPT sedang dalam usaha mengenal pasti beberapa bengkel yang terlibat dalam pertaruhan lumba haram di seluruh negara dan tindakan tegas akan diambil,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mat Kassim berkata, sejak tahun lalu, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) turut digunakan bagi menangani isu samseng jalanan, namun sehingga kini tiada tangkapan dijalankan di bawah akta tersebut.

Ujar beliau, sebanyak 2,560 ‘mat rempit’ diberkas dengan sitaan kira-kira 3,370 motosikal berjaya dilakukan menerusi 1,569 operasi sepanjang tahun lalu.

“Kira-kira 24,481 notis saman turut dikenakan terhadap penunggang motosikal yang berlumba haram di atas jalan raya.

“Bagi sejak peralihan fasa endemik pada April lalu sehingga kini, sebanyak 390 operasi dan 602 tangkapan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan Seksyen 81 (3) APJ 1987.

“Ini menunjukkan kekerapan operasi yang dijalankan telah berjaya dilaksanakan selain penemuan lokasi-lokasi baharu yang dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan tangkapan yang dibuat, lokasi ‘panas’ lebih tertumpu di Lebuh Raya KL-Seremban (PLUS), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Lebuh Raya Persekutuan.

“Walaupun begitu terdapat lagi beberapa lagi lokasi panas yang aktif terutamanya di sekitar lembah Klang.

“Kita sesekali tidak akan berkompromi dengan isu samseng jalanan serta sentiasa komited membanteras kegiatan haram ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN