PUTRAJAYA: Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah ditubuhkan bagi memastikan sinergi pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Keputusan kerajaan itu memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat senario global pada masa kini yang melonjakkan harga input pertanian, kos logistik serta cuaca ekstrem menyebabkan kitaran pengeluaran makanan terganggu.
Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan tujuh inisiatif yang antara lain meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang kurangnya 10 sehingga 21 tahun.
“Pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.
“Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri menteri-menteri Kabinet berkaitan.
Ismail Sabri berkata, inisiatif lain ialah mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi serta mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.
Selain itu, katanya, pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dikekalkan dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.
Pihak berkuasa tempatan akan diselaraskan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain turut dirangka.
“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.
“Menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan pula bersetuju mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan yang akan diperinci Kementerian Kewangan.
Dalam masa sama, sebuah Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.
“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.
“Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya. – UTUSAN










