PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk melanjutkan pengecualian sewa bagi premis di bawah kementerian itu termasuk kantin selama enam bulan lagi bermula 1 Julai ini hingga 31 Disember depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau yakin lanjutan selama enam bulan itu dapat membantu dan memberi manfaat kepada pengusaha kantin dan juga penyewa di premis KPM sekali gus memberi manfaat kepada warga sekolah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa serta memahami pengusaha kantin dan penyewa premis yang sedang dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.
“Tempoh dua tahun yang lalu ada satu tempoh yang amat sukar bagi pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah KPM,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, KPM pernah melanjutkan pengecualian sewa premis KPM selama setahun pada 2021 dan tambahan enam bulan lagi sehingga bulan ini.
Lanjutan pengecualian turut diberikan kepada sewaan premis atau ruang (kedai buku, koperasi, kedai dobi dan vending machine) di sekolah bawah KPM bagi tempoh yang sama.
Bagi tahun 2020 dan 2021, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif bantuan kepada pengusaha kantin sekolah.
Antara inisiatif bantuan yang disalurkan adalah termasuk bantuan RM1,500 kepada pengusaha kantin sekolah bawah KPM pada tahun 2020.
Bantuan lain termasuk RM1,000 kepada pengusaha kantin sekolah melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada tahun 2021,” katanya. –UTUSAN ONLINE