KUALA NERUS: Kehilangan bapa akibat Covid-19 memberi tamparan kuat kepada anak bongsu daripada 10 beradik di Kampung Gong Tok Nasek di sini yang kini terpaksa bergantung harap kepada abangnya bagi menampung perbelanjaan persekolahan.
Muhammad Mursyied Islamie Muhammad Mayuddin, 13, berkata, sejak bapanya meninggal dunia pada 12 Oktober 2021, tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini diambil alih oleh Muhammad Mujajiddul Islam, 28, yang merupakan pendakwah bebas.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) itu, selain dirinya, Muhammad Mujajiddul Islam turut menyara Muhammad Muqtashied, 16, di samping ibu yang tidak bekerja.
Sehubungan itu, katanya, pemberian bantuan one-off Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) bernilai RM2,500 itu mampu meringankan bebanan keluarga terutama dalam urusan persekolahan mereka dua beradik.
“Saya mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah dan berhasrat menyimpan duit yang diterima ini bagi tujuan pembelajaran masa depan.
“Cita-cita saya untuk menjadi ulama sekali gus mengikut jejak langkah Allahyarham ayah yang merupakan guru agama,” katanya dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.
Muhammad Mursyied Islamie merupakan antara 10 penerima YKM dan menerima replika cek daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu seorang lagi penerima ialah bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang mendapat sumbangan sebanyak RM2,000.
Ibunya, Noraziah Adam, 36, berkata, bantuan kewangan itu akan dimanfaatkan untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami akibat Covid-19 pada November tahun lalu. – UTUSAN










