JOHOR BAHRU: Pembangkang Johor menyambut baik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kerajaan Persekutuan bersikap lebih adil dalam mengagihkan hak dan peruntukan kepada negeri-negeri.
Ketuanya, Liew Chin Tong berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri berunding semula untuk mewujudkan perjanjian yang lebih adil dan seimbang.
Menurutnya, langkah itu sekali gus akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
“Dalam titah Sultan Johor semalam, baginda mendedahkan kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janji serta gagal melaksanakan projek dengan baik seperti jalan-jalan Persekutuan yang berlubang dan rosak, tidak cukup kemudahan asas di hospital kerajaan dan keadaan Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) yang daif dan uzur di Bangunan Sultan Iskandar.
“Baginda menegaskan Johor tidak sepatutnya dilayan seperti anak tiri dan kerajaan Persekutuan perlu mengambil berat pandangan baginda yang telah mendedahkan kepincangan dalam sistem federalisme yang ada sekarang. Malah, masalah ini tidak khusus kepada Johor sahaja.
“Ini kerana Malaysia pada asalnya dibentuk sebagai sebuah persekutuan tetapi kini kuasa semakin dikawal penuh oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Chin Tong berkata, titah Sultan Johor bahawa kerajaan Persekutuan tidak bersikap adil dari segi perkongsian kuasa dan sumber tepat pada masanya.
“Hal ini juga selaras dengan sentimen di kebanyakan negeri yang merasakan kerajaan Pusat tidak melayan mereka dengan adil. Kerajaan Persekutuan telah mengutip RM13 bilion hasil daripada Johor secara tahunan tetapi hanya menyalurkan kembali peruntukan yang kecil kepada negeri.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan negeri memulakan Resolusi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Suruhanjaya Perhubungan Antara Persekutuan dan Negeri bagi mengkaji tawaran baharu berhubung perkongsian kuasa dan sumber untuk sistem federalisme Malaysia bagi tempoh 50 tahun akan datang.
“Menteri Besar Johor perlu menerajui usaha mengajak semua negeri berminat untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri bagi menyeleras dan menetapkan agenda baharu perkongsian kuasa dan sumber antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.
“Ini akan dilaksanakan berasaskan kesediaan mana-mana negeri yang berminat dan berkesanggupan tanpa perlu menunggu semua negeri menyertainya. Mana-mana negeri yang merasakan hubungan antara Pusat dan negeri tidak adil patut menyertai jawatankuasa ini untuk menzahirkan satu tawaran baharu yang lebih seimbang dan adil,” ujarnya.
Justeru, Dewan Negeri Johor juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi merealisasikan titah Sultan Johor untuk memperkasakan federalisme dan kuasa negeri.
“Masanya sudah tiba untuk satu tawaran baharu antara kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri, khususnya Johor. Demi Bangsa Johor, demi rakyat Malaysia,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE