Pekilang henti pengeluaran minyak masak botol - Utusan Malaysia

Pekilang henti pengeluaran minyak masak botol

Seorang peniaga menyusun stok terakhir minyak masak di kedai runcitnya di Bakri, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pengusaha kilang mengeluar minyak masak di sini memberi fokus meningkatkan pengeluaran minyak masak peket yang subsidinya masih ditanggung kerajaan.

Ini susulan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bermula 1 Julai ini yang dibuat kerana banyak penyelewengan berlaku.

Pemilik kilang memproses minyak masak Chuan Hong Oil Mills Sdn. Bhd. di Jalan Maharajalela di sini, Wong Kin Nan berkata, beliau tidak setuju keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol kerana ia akan menyebabkan harganya lebih tinggi.

Menurutnya, secara tidak langsung ini akan menyebabkan pengguna memilih masak peket yang masih ada subsidi kerana harganya lebih rendah dan mendapat sambutan.

“Kami sudah dua bulan tidak menghasilkan isi minyak dalam botol kerana tidak ada sambutan, lebih baik proses yang berpeket plastik kerana murah dan masih ada subsidi digunakan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Kin Nan, pengumuman tiada lagi subsidi minyak masak botol akan membebankan pengguna terutama peniaga makanan yang banyak menggunakan minyak masak.

Katanya, golongan itu sudah tentu mahu mengurang kos dengan memilih minyak masak berpeket untuk menghasilkan makanan.

Di JOHOR BAHRU: Peniaga makanan Yang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan tidak bersetuju dengan pemansuhan subsidi minyak masak botol itu kerana meningkatkan kos perniagaan mereka.

Seorang peniaga, Zulkarnain Abdul Mubin, 48, berkata, sekiranya perkara itu berlaku dan bekalan minyak peket satu kilogram sukar diperoleh, pihaknya tiada pilihan selain meningkatkan harga makanan.

“Sebagai seorang peniaga makanan, minyak masak memang antara bahan keperluan utama. Jadi, apabila berlaku peningkatan harga, mustahil saya dapat menampungnya.

“Disebabkan kenaikan harga barangan lain sebelum ini, saya terpaksa menaikkan harga nasi bajet yang dijual daripada RM6 menjadi RM7 sejak sebulan lalu.

“Tetapi kini apabila terdapat ura-ura harga minyak botol akan meningkat mencecah RM40 sebotol, apa lagi pilihan yang saya ada,” katanya yang menjalankan perniagaan Kaka Food Station di Kangkar Tebrau, di sini.

Pemilik Kedai Razmah Nasi Rawan di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), Mohamad Izam Seran, 51, pula memberitahu, kenaikan barangan seperti ayam, telur dan tepung sebelum ini sudah cukup memeritkan, tetapi kini harga minyak pula bakal naik.

“Baru-baru ini saya sudah menaikkan harga jualan makanan sebanyak 20 peratus kerana tidak boleh lagi bertahan dengan harga lama, perkara itu tidak dapat dielakkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN