PeKa B40: Ramai enggan beri kebenaran pemeriksaan kanser prostat, payudara - Utusan Malaysia

PeKa B40: Ramai enggan beri kebenaran pemeriksaan kanser prostat, payudara

KHAIRY Jamaluddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Ramai rakyat negara ini yang masih enggan untuk memberikan kebenaran kepada bagi menjalani pemeriksaan kanser prostat dan payudara menerusi program Saringan Kesihatan Percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut memberitahu antara faktor perkara tersebut berlaku adalah kerana tidak biasa serta sensitiviti walaupun ia dilaksanakan secara percuma.

“Perkara ini memerlukan kepada kepada satu usaha penerangan yang lebih lanjut lagi sebab mungkin daripada segi faktor budaya dan sebagainya mereka tidak biasa. Apabila diterangkan saringan itu memerlukan sentuhan di badan dan tempat-tempat tertentu mereka enggan memberi kebenaran terutamanya bagi mereka yang berumur.

“Perkara ini perlu diberikan tumpuan untuk mengatasi sensitiviti. Kanser prostat, payudara adalah kanser yang tinggi dikesan di negara ini, kita kena cari cara untuk yakinkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Saringan Kesihatan Peka B40, di Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau semalam.

Dalam pada itu, Khairy menyatakan hampir 6 juta individu yang layak untuk mendapatkan Saringan Kesihatan Percuma di bawah PeKa B40 dan daripada jumlah itu, hanya 620,000 individu telah disaring sejak 2019.

Sementara itu, menurut beliau, masih terdapat halangan di mana rakyat pergi ke klinik mahupun hospital hanya apabila sakit.

“Mereka pergi ke klinik apabila sakit bukan untuk tahu status kesihatan mereka. Ini perubahan minda yang sangat besar yang perlu dilakukan di negara kita, sebab itulah sistem kesihatan kita berunsur sistem kesihatan rawatan. 

“Sebahagian besar tidak tahu status kesihatan mereka sehingga mereka sakit. Itu masalah sekarang di Malaysia antara sebab yang menyumbang kesesakan di hospital serta tekanan sistem kesihatan awam,” katanya.

Jelas Khairy, sekiranya orang ramai boleh melakukan saringan kesihatan secara berkala, kemungkinan mereka dapat mengelak untuk ditempatkan di hospital akibat komplikasi penyakit kronik.

“Manfaat utama saringan kesihatan secara percuma PeKa B40 ini adalah langkah yang penting bagi Kementerian Kesihatan mempromosikan langkah-langkah pencegahan sebelum penyakit berkenaan menjadi lebih teruk,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN