PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Parlimen Belia yang berlangsung bermula semalam menjadi bukti kerajaan mengetengahkan bakat kepimpinan anak muda.
Perdana Menteri berkata, ini kerana persidangan seumpama itu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa memberi peluang kepada anak muda.
Justeru, beliau berharap para belia negara akan terus menyumbang idea demi untuk pembangunan Keluarga Malaysia.
“Belia pencetus revolusi masa depan negara. Hari ini (semalam), saya menyertai 115 ahli Parlimen Belia Malaysia di Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang 1 Tahun 2022.
“Persidangan yang berlangsung sejak semalam hingga 16 Jun ini menjadi platform perbahasan bagi membincangkan usul-usul berkaitan pembangunan belia.
“Antara usul yang menarik perhatian saya termasuklah cadangan Wakil Selangor yang meminta inisiatif diberikan bagi menggalak penglibatan belia dalam sektor penternakan dan pertanian bertujuan menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021 – 2025,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Persidangan Parlimen Belia Malaysia Tahun 2022 yang berlangsung sehingga 16 Jun membabitkan seramai 90 perwakilan bagi membahaskan usul berkaitan pembangunan belia negara. –UTUSAN ONLINE










