KUANTAN: Pahang mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.74 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang tetapkan iaitu 4.86 peratus.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman, berdasarkan pencapaian itu, seramai 300 pelajar mendapat semua A dalam peperiksaan SPM 2021.
Menurutnya, di negeri ini, hanya seorang calon yang mendapat semua A+ dalam 11 mata pelajaran yang diambil.
“Di negeri ini seramai 17,528 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu dan 17,008 calon mengambil peperiksaan.
“Peratus kehadiran menunjukkan sedikit penurunan iaitu 97.03 peratus berbanding 98.08 peratus pada 2020, dipercayai berkemungkinan berkait rapat dengan kes penularan wabak Covid-19 dan bencana seperti banjir pada ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata, seramai lima pelajar dari 105 calon berkeperluan khas (CBK) memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam subjek manakala 24 pelajar Orang Asli daripada 616 calon yang berdaftar memperoleh keputusan cemerlang.
“Daripada 24 calon itu, seramai tiga pelajar calon Orang Asli masing-masing memperoleh 11A, 9A dan 8A.
“Meskipun pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan pelbagai kesukaran kepada rata-rata calon pelajar Orang Asli tetapi prestasi murid mereka tetap membanggakan,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, di Pahang sebanyak 10 buah sekolah mencatatkan pencapain terbaik yang mana tiga daripadanya merupakan sekolah harian.
“Tiga sekolah terbabit ialah SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan, SMK Jengka Pusat, Maran dan SMK Seri Bera di Bera.
“Perkara yang lebih membanggakan apabila sekolah yang berada di luar bandar juga boleh mendapat pencapaian terbaik sama seperti sekolah berasrama penuh,” katanya. –UTUSAN ONLINE