Orang tengah kuasai perikanan - Utusan Malaysia

Orang tengah kuasai perikanan

HASIL tangkapan nelayan didakwa dikuasai oleh orang tengah yang bertindak sebagai pembeli utama bertujuan menguasai pasaran, harga dan bekalan ikan di seluruh negara. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kewujudan orang tengah mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini sentiasa tidak stabil.

Mereka bukan sahaja berkuasa membeli ikan pada skala besar, mencorak, menentu serta memanipulasi bekalan dan harga di pasaran negara tetapi juga membangunkan ekosistem perikanan kebal yang tidak mampu ditembusi pesaing baharu.

Modus operandi orang tengah ini cukup halus sehingga didakwa mewujudkan kitaran kejam menindas nelayan-nelayan kecil, sekali gus menjawab persoalan mengapa segelintir nelayan kecil-kecilan hidup miskin sampai terpaksa bergantung kepada bantuan sara hidup kerajaan.

Mendedahkan perkara ini kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, orang-orang tengah ini telah lama membina dan mempunyai rantaian pemasaran di seluruh negara sehingga menjajar ke luar negara.

BERKUASA

“Mereka ini sangat berkuasa. Mereka ada kapasiti menyimpan stok ikan sebanyak 4,750 tan metrik ikan pada satu-satu masa, menjangkau penggunaan ikan dalam sehari bagi rakyat Malaysia yang berjumlah empat tan metrik.

“Ada enam orang tengah ikan seluruh negara. Di pelantar pendaratan ikan, saya dapati orang tengah itu ialah pemborong-pemborong yang sedia ada, mereka sentiasa cuba menghalang agar tiada pemain baru atau pesaing masuk dalam pasaran tersebut. Bot-bot besar dan juga penangkapan laut dalam adalah dipunyai oleh kelompok itu.

“Mereka ini menguasai kitaran ekosistem ikan negara. Daripada sumber di lautan, sehingga peringkat terakhir iaitu pemasaran kepada rakyat.

“Kemudian, mereka ada kapal laut dalam sendiri jenis C2. Mereka ada kilang beku, kilang proses sendiri. Malah mereka ada sistem pemasaran dan tahu nak jual kepada siapa. Mereka ini bergerak dalam rangkaian yang cukup luas di seluruh negara.

“Ada nelayan di Kedah yang ada kapal laut dalam jenis C2, mereka bawa balik ikan ke darat, tapi mereka tak boleh jual dengan harga yang stabil. Sebaliknya orang tengah yang akan datang dan tawarkan harga tertentu dan nelayan ini terpaksa akur sahaja dengan harga yang ditawarkan, yang semestinya rendah berban­ding harga pasaran,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN