Nelayan pilih jual sendiri

Nelayan pilih jual sendiri

ANDING Mandangan meletakkan ikan untuk dijual digerainya Pasar Ikan Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru di sini memilih menjual sendiri hasil tangkapan berbanding menjualnya kepada orang tengah kerana berpeluang memperoleh bayaran yang lebih baik.

Alihan Khalid, 60, memberitahu, perbezaan harga yang boleh diperoleh mereka adalah kira-kira RM5 sekilogram.

Alihan yang sudah menjadi nelayan sejak berusia awal 30-an memberitahu, jika tidak dijual sendiri, nelayan di kawasan berkenaan gemar menjual hasil tangkapan mereka kepada pembeli dari pasar awam di Pontian.

“Kami memilih untuk menjual ikan kepada pembeli dari Pontian berbanding kawasan lain kerana mereka mengambil dengan harga yang lebih tinggi. Jadi, walaupun sedikit jauh itu tidak menjadi masalah.

“Kebiasaannya ikan-ikan yang dijual kepada pembeli berkenaan berada dalam kualiti yang baik, sama ada dari segi kesegaran dan saiznya,” katanya semalam.

Katanya, nelayan di kawasan berkenaan tidak pernah berdepan masalah diugut orang tengah untuk menjual hasil dengan harga terlalu murah.

Seorang lagi nelayan, Md. Amin Jantan, 67, memberitahu, ada antara golongan peraih yang menaikkan harga belian mereka sebanyak RM1 berbanding sebelum ini.

“Walaupun kita tahu orang tengah beli untuk dijual semula, tetapi bagi saya harga yang ditawarkan mereka masih lagi berbaloi dengan kudrat saya untuk keluar ke laut,” jelasnya.

Di Kota Kinabalu, tiada orang tengah atau peraih memudahkan peniaga di Pasar Ikan di sini mengawal harga ikan di pasaran.

Anding Mandangan, 40, berkata, kebanyakan peniaga di pasar itu memperoleh bekalan ikan secara terus daripada nelayan jadi, tiada pembabitan orang tengah.

Maka, isu orang tengah atau peraih mengaut keuntungan berlebihan tidak timbul kerana peniaga di sini tidak membeli ikan melalui orang tengah.

“Harga ikan bergantung kepada faktor cuaca, jika musim hujan harganya memang akan naik. Tapi, biasanya kenaikan harga tidak terlalu tinggi.

“Ikan bersaiz besar seperti ikan tenggiri, harganya ditetapkan nelayan boleh serendah RM23 sekilogram dan paling mahal pun RM28 sekilogram,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN