Nelayan kedua hilang turut ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Nelayan kedua hilang turut ditemukan lemas

MAYAT Abu Bakar Mohammad yang ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama rakannya terbalik di perairan Ayer Baloi, Pontian di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Nelayan kedua yang dipercayai lemas ketika turun ke laut di perairan Ayer Baloi, di sini kelmarin, ditemukan mayatnya di Kuala Sungai Ayer Baloi, pagi ini.

Mangsa, Abu Bakar Mohammad, 57, ditemukan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh nelayan tempatan di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa bersama rakannya turun ke laut untuk menangkap ikan sebelum bot dinaiki mereka terbalik.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada pukul 8 pagi ini oleh agensi-agensi penguatkuasa dan penyelamat yang terlibat selain turut dibantu Komuniti Nelayan Ayer Baloi.

“Dalam misi pencarian itu berjaya menemukan mangsa yang meninggal dunia di Kuala Sungai Ayer Baloi sebelum mayat mangsa dibawa ke jeti nelayan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, mayat mangsa yang pertama iaitu Khalid Mohammad, 71, telah ditemui oleh nelayan di kedudukan 2.5 batu nautika dari Pantai Kampung Pulai Sebatang pada pukul 12.45 tengah hari.

Mohammad Shofee berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Pontian untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, bot yang digunakan mereka masih tidak ditemukan dan operasi SAR ditamatkan pada pukul 10.45 pagi ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN