LONDON: Manchester United dilaporkan menerima satu lagi tamparan hebat pemain yang menjadi sasaran utama mereka, Jurrien Timber dilaporkan mengambil keputusan untuk kekal di Ajax.
Menurut media Belanda, pemain pertahanan itu menganggap ‘terlalu banyak risiko’ jika berpindah ke Old Trafford pada waktu sekarang, ketika Piala Dunia di Qatar bakal berlangsung, November depan.
Pemain berusia 20 tahun itu dikenal pasti sebagai sasaran utama pengendali Red Devils, Erik ten Hag kerana kemampuannya bermain sebagai bek tengah dan di bahagian kanan pertahanan.
Perkembangan terbaharu itu mewujudkan rasa panik dalam kalangan penyokong United kerana jendela perpindahan sudah memasuki pertengahan Jun, dan kelab masih gagal membawa masuk nama-nama besar.
Ketika musuh tradisi mereka, Manchester City dan Liverpool memulakan langkah dalam pasaran perpindahan pemain, United belum melakukannya.
Sebaliknya, kelab itu dilihat mengambil langkah ke belakang dengan melepaskan Paul Pogba, Nemanja Matic, Edinson Cavani, Juan Mata serta Jesse Lingard.
“Saya rasa dia seorang pemain yang berkualiti untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris, ia bukan satu masalah.
“Jika dia perlu membuat satu langkah besar sekarang, persoalannya ke mana? Saya fikir (perpindahan ke United) bukan satu tindakan bijak, dia perlu bermain,” kata pengurus Belanda, Louis van Gaal yang pernah membimbing United pada 2014 hingga 2016.
Pertahanan adalah posisi paling membimbangkan Ten Hag kerana statistik menunjukkan 2021-2022 menjadi musim terburuk United dengan 57 gol dilepaskan dan mereka menghuni tangga keenam liga.
Sementara itu, bekas pertahanan United, Gary Neville mengakui United amat terdesak untuk mendapatkan nama bear bagi mengukuhkan pasukan.
“Saya tahu ia masih awal dalam jendela perpindahan tetapi sesuatu yang membimbangkan melihat United bergelut untuk melakukan pembelian.
“ETH (Erik ten Hag) perlu segera mengumpul pasukannya. Lewat membawa mereka masuk hanya akan tambah menyukarkan keadaan! Saya harap ia berlaku dengan cepat,” katanya.
Usaha sudah dilakukan tetapi United langsung tidak dipilih oleh kem Erling Haaland dan Darwin Nunez yang masing-masing menyertai City serta Liverpool.
Tidak mampu menawarkan tiket Liga Juara-Juara, selain protes yang dilancarkan penyokong terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer antara faktor yang menyebabkan tidak ramai pemain mahu berpindah ke Old Trafford. – AGENSI – UTUSAN










