Najib nasihat MB Johor beri keutamaan isu rumah, tanah generasi kedua Felda  - Utusan Malaysia

Najib nasihat MB Johor beri keutamaan isu rumah, tanah generasi kedua Felda 

NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan warga Felda pada Majlis Sembang Santai di Felda Gugusan Adela, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Isu rumah dan tanah generasi kedua Felda di Johor mesti diperjuangkan seperti yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, susulan itu beliau telah menasihati Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar mengutamakan perkara tersebut. 

Katanya, janji perumahan generasi kedua Felda yang dibawa semasa PRN juga dilihat telah menyumbang terhadap kemenangan buat calon Barisan Nasional (BN) terutamanya di kawasan Felda.

“Kita sampai ke peringkat di mana rumah dan tanah untuk generasi kedua Felda ini mesti diperjuangkan. Saya telah beri nasihat pada Menteri Besar Johor yang baharu agar tolong beri keutamaan, beri lot-lot dan cari dana untuk bangunkan prasarana supaya rumah generasi kedua Felda dapat dibina dengan kos yang mampu ditanggung generasi kedua Felda. Ini yang saya minta agar kerajaan negeri Johor beri keutamaan.

“Ini jugalah yang kita janjikan masa PRN, sebab itu rakyat letakkan harapan tinggi di mana dua kawasan (DUN Tanjung Surat dan DUN Penawar) menang majoriti besar dan saya percaya peringkat Parlimen bila sampai masanya, Insya-Allah akan menang besar,” katanya pada Majlis Sembang Santai di Felda Gugusan Adela, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, masyarakat Felda sentiasa berada dekat di hatinya bahkan komitmen beliau untuk masyarakat itu tidak pernah luntur.

Usahanya untuk masyarakat Felda bukan lagi sebagai satu kerja, sebaliknya menganggap ia sebagai legasi keluarganya.

“Felda memang dekat di hati saya. Ini bukanlah cakap orang politik, kalau orang politik dia hendak undi boleh cakap macam-macam tetapi saya berjuang dan sudah pun lakukan yang terbaik untuk masyarakat Felda. Sejak saya jadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri saya telah buat bermacam-macam untuk masyarakat Felda.

“Saya rasa macam terkedu sikit bila kita kalah pilihan raya 2018 sebab saya nak meneruskan  lagi usaha saya memajukan Felda. Saya anggap ini sebagai satu legasi Allahyarham Tun Razak, ayahanda saya sebagai anak sulung, saya terpanggil untuk teruskan perjuangan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, kejayaan dalam PRN Johor juga jelas menunjukkan masyarakat Felda menolak mereka yang berjanji tetapi tidak ditepati. 

“Sejak kalah pada PRU kita alami zaman keperitan bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Apa mereka janjikan tapi apa yang kita dapat. Tentu sekali kita dapat menilai orang  yang kata janji tinggal janji sahaja. 

“Sebab itu bila  Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bertanding dalam PRN Johor, 42 kerusi hilang deposit ada yang datang ke Felda di Felda pun hilang deposit. Maknanya masyarakat Felda tolak orang yang berjanji tetapi tidak tunai janji. 

“Masyarakat Felda tahu bahawa kedudukan, keselesaan hari ini kerana kita sudah bangunkan masyarakat Felda dari dulu sampai hari ini, rumah peneroka Felda juga sekarang banyak berubah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN