Nafas, Angkasa terlibat ekosistem industri ayam - Utusan Malaysia

Nafas, Angkasa terlibat ekosistem industri ayam

ISMAIL Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa di Putrajaya. - FOTO PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) akan terlibat dalam keseluruhan ekosistem industri ayam sebagai satu usaha menjamin sekuriti makanan negara.  

Langkah kedua-dua pertubuhan itu yang masing-masing mempunyai seramai sejuta dan tujuh juta ahli melalui 14,835 koperasi diyakini berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ini bermakna Nafas dan Angkasa terlibat dalam industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat  pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan  pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

Jelas beliau, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun manakala Angkasa  sebanyak 30 juta ekor setahun. 

“Kerajaan menyambut baik inisiatif Nafas dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya  industri ternakan ayam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan  negara.  

Ismail Sabri berkata, Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam. 

Bagi tujuan itu, Nafas mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di  Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin. 

Angkasa pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. 

“Setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini. 

“Usaha Nafas dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat  mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam,” katanya. 

Pada masa sama, Ismail Sabri meminta Angkasa menerajui sektor koperasi dalam menangani  kenaikan kos sara hidup. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya