MCA pilih bulu jatuhkan hukuman - Siew Kiong

MCA pilih bulu jatuhkan hukuman – Siew Kiong

Tee Siew Kiong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong didakwa bersikap pilih bulu dalam menjatuhkan hukuman kepada pemimpin parti berkenaan yang tidak sependapat dengannya.

Bekas Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong berkata, perkara itu boleh dilihat apabila MCA hanya menjatuhkan hukuman gantung keahlian selama setahun kepada ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew kerana didakwa mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru, beliau mempersoalkan hukuman gantung keahlian selama lima tahun yang dikenakan terhadap dirinya.

“Seorang lagi ahli veteran MCA digantung keahlian, tetapi ini menunjukkan sikap ‘double standard’ MCA di mana Tan Sri (Kim Yew) hanya digantung keahlian setahun, tetapi saya lima tahun.

“Apa yang saya nampak di sini adalah Presiden MCA takut dengan ahli dan kepimpinan MCA yang tidak sependapat dengan beliau,” katanya dalam sidang media di Pusat Ekonomi Digital Johor (JDEC) , Danga Bay, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JDEC dan Telekom Sales and Services Sdn. Bhd., di sini.

Siew Kiong digantung keahlian selama lima tahun bermula 13 Mei lalu.

Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah Johor itu turut mempersoalkan apakah tindakan pilih bulu itu disebabkan dirinya bukanlah seorang taikun perniagaan yang mempunyai aset berbilion ringgit seperti Kim Yew.

Beberapa hari lalu, MCA menggantung keahlian Kim Yew sebagai ahli parti itu selama setahun kerana didakwa mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir.

Taikun itu memaklumkan surat penggantungan itu dihantar dan diserahkan sendiri oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN