KUALA LUMPUR: Sekarang dianggap masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun negara berhadapan kenaikan inflasi yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memberi gambaran itu dengan pengalaman dialaminya kerana mengakui tidak mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas Sukan SEA 2017 sedangkan waktu itu merupakan sesuai untuk mengadakan pilihan raya.
Jelasnya, beliau tidak mengadakan PRU14 selepas temasya sukan itu atas desakan pihak tertentu sehingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah pada 2018.
“Justeru itu, kini masa sesuai untuk mengadakan PRU dengan keadaan pembangkang cacar marba sama ada Bersatu, PKR, dan Pejuang. BN Insya Allah semakin kuat walaupun akui ada masalah, tetapi kita terus kukuh.
“Kalau tunggu inflasi selesai, ia tidak akan selesai dalam tempoh dua tiga bulan, kitaran ini akan berlaku dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu menambah, keperluan mengadakan PRU15 bukan soal beliau ataupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr .Ahmad Zahid Hamidi mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya demi masa depan negara.
Beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan BN khususnya pemimpin lima tertinggi UMNO yang membabitkan Presiden dan Timbalan Presiden serta tiga Naib Presiden untuk berbincang tarikh sesuai PRU15.
“Berundinglah elok-elok, pilihlah tarikh sesuai PRU-15,” soalnya. – UTUSAN











